Hak Hak Wanita Selepas Bercerai. Ini Yang Isteri Wajib Ambil Tahu.



Hak Hak Wanita Selepas Bercerai. Ini Yang Isteri Wajib Ambil Tahu.  Assalamulaikum Dan Selamat Malam, Hai reader semua.  Ramai antara kita yang keliru dan tak tahu tentang Hak-Hak Wanita Selepas Bercerai, Perkara ini semua wanita harus ada pengetahuan mana tahu suatu masa ada dikalangan ahli keluarga atau teman baik kita mengalami penceraian dan mengadu dekat kita tentang masalah mereka, Macam mana kita nak bantu jika kita sendiri tak ada ilmu pengetahuan berkaitan Hak-hak wanita selepas bercerai jadi kita hendaklah rajin membaca dengan itu dapatlah kita membantu mereka dalam permasalah yang sedang dihadapi.

Hak-Hak Wanita Selepas Bercerai


Maksud Penceraian


Apa itu penceraian? Penceraian bermaksud menamatkan satu-satu hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan kadi. Dari sudut bahasa Penceraian bermaksud berpisah atau melepaskan. Manakala dari sudut istilah pula membawa maksud pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talak atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah dan ijma' ulama.

Hukum Perceraian


Perceraian boleh terjadi dalam pelbagai cara sama ada melalui lafaz yang diucapkan oleh suami kepada isteri atau melalui perbuatan dan niat yang menunjukkan kehendak suami untuk berpisah dengan isterinya seperti dengan tulisan atau dengan isyarat tertentu tertentu. Apakah hukum penceraian?
Wajib
• Apabila perselisihan suami dan isteri tidak menemui jalan penyelesaian dan keluarga kedua belah pihak telah bersetuju untuk bercerai.

Sunat
• Apabila suami menjatuhkan talaq ke atas isterinya kerana berkelakuan tidak baik.

Makruh
• Apabila suami menjatuhkan talak ke atas isterinya yang berkelakuan baik dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Haram
• Apabila suami menjatuhkan talak dalam keadaan isterinya sedang dalam haid atau nifas.

Harus
• Waktu tidak ada persefahaman hidup antara suami dan isteri

Hak-hak Wanita Yang Diceraikan


Apabila telah berlakunya lafaz talak atau cerai dari suami kepada isteri, Islam masih membenarkan kedua-dua belah pihak untuk terus berhubung antara satu sama lain dengan batas pergaulan yang telah ditetapkan.

Hak-hak Wanita Yang Diceraikan

Ini bertujuan untuk memastikan hak-hak isteri dan anak-anak terus dilindungi walau selepas berpisah serta untuk memastikan si suami terus menjalankan tanggungjawab mereka melalui pemberian nafkah. Ini selaras dengan firman Allah dalam Surah At-Talak ayat 6 seperti di bawah :
 'Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka.  Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak) mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik  dan jika anda menghadapi kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya".

Jadi apa hak-hak atau bentuk tuntutan yang boleh dibuat oleh si isteri ke atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah?

Harta Sepencarian



Harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri semasa masih dalam ikatan perkahwinan sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kenderaan) atau harta tak alih (seperti rumah).


Nafkah Harta Sepencarian


Pada asalnya, tuntutan harta sepencarian adalah berdasarkan undang-undang adat Melayu. Tapi kerana prinsip tersebut tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia. Al-Quran juga ada menyebut :

 “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”.

(Surah An-Nisaa’ : 32)


Berdasarkan ayat di atas, ia menjelaskan bahawa hak wanita di dalam harta benda yang dituntut adalah bergantung dari apa yang diusahakan.

Dalam mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ditentukan berdasarkan sumbangan pihak-pihak berkenaan dalam pemerolehan harta-harta tersebut. Bentuk sumbangan dibahagi kepada 2 jenis iaitu :

1. Sumbangan Secara Langsung


Sumbangan secara langsung merujuk kepada sumbangan bersama suami dan isteri dalam usaha memperolehi harta dan aset.


2. Sumbangan Tidak Langsung



Merujuk kepada sumbangan dalam bentuk perhatian dalam rumahtangga seperti menjaga kebajikan keluarga, memelihara rumahtangga serta menjaga keperluan keluarga termasuk anak-anak. Sumbangan ini lebih merujuk kepada surirumah tangga sepenuh masa yang mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami bekerja. Seperti yang diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup, seseorang suri rumahtangga juga berhak menuntut harta sepencarian dari suaminya yang bekerja.


Muta'ah


Muta'ah


Mutaah merupakan sejumlah harta yang wajib diberikan oleh si suami kepada bekas isteri yang pernah disetubuhi apabila penceraian yang berlaku bukan berpunca dari isteri dan bukan disebabkan kematian suami.

Terdapat beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh tentang Mutaah seperti di bawah :
"Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa".
(Surah Al-Baqarah ayat 241)
 "Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
 (Surah Al-Baqarah ayat 236)
 "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya".
(Surah Al-Ahzab: 49)

Mutaah boleh diberi dalam bentuk pakaian, barang-barang atau wang bersesuaian dengan keadaan dan kedudukan kewangan suami.  Ini kerana Islam tidak menetapkan kadar pemberian mutaah sebaliknya lebih kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.  Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah Syariah sendiri yang akan menetapkan kadar bayaran mutaah tersebut.

Tujuan Islam Memberi Mutaah

Islam sangat menghormati wanita. Dengan adanya pemberian mutaah, ini membuktikan penceraian yang berlaku bukan berpunca dari si isteri. Sekaligus ini menepis rasa malu dan buruk sangka masyarakat setempat terhadap bekas isteri.

Selain dari tu, pemberian mutaah dianggap sebagai satu bentuk penghargaan dari bekas suami kepada bekas isteri atas sumbangan dan tanggungjawab yang telah dijalankan sepanjang mereka hidup berumahtangga.

Dan bagi bekas isteri, pemberian mutaah ni membolehkan mereka menggunakan harta yang dihadiahkan dari bekas suami sebagai modal atau permulaan untuk hidup berdikari setelah putus tali pergantungan.

Nafkah Iddah


Nafkah iddah merupakan nafkah yang wajib dibayar kepada isteri yang telah disetubuhi. Nafkah iddah yang berupa nafkah makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu disediakan oleh suami sepanjang tempoh Iddah Raji'e mengikut hukum syarak.


Nafkah Iddah


Hikmahnya ialah supaya kedua-dua belah pihak boleh menggunakan tempoh iddah Raji'e tersebut untuk berfikir panjang.

Walau bagaimanapun, terdapat syarat yang membenarkan seseorang isteri yang telah diceraikan berhak untuk mendapat nafkah. Antara syaratnya ialah :

1. Isteri Diceraikan Dengan Talak Raji'e



Menurut sepakat dari 4 mazhab, isteri yang telah diceraikan dengan talak Raji'e iaitu talak yang boleh dirujuk berhak mendapat nafkah iddah seperti dalil Nabi Muhammad saw di bawah :

 “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.

(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)

2. Isteri Hamil Diceraikan Dengan Talak Bain


Isteri yang sedang hamil yang diceraikan dengan talak bain iaitu talak yang tidak boleh dirujuk semula juga berhak mendapat nafkah sehingga anak tersebut lahir. Ini sejajar dengan firman Allah swt yang berbunyi :

 "Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya".

(Surah At-Talaq ayat 6)

Sekali lagi ini menunjukkan betapa Islam sangat menjaga wanita bila berlakunya penceraian. Walaupun wanita hamil itu telah diceraikan dengan talak Bain, bekas suami wajib menyediakan nafkah iddah dengan sempurna demi menjaga kebajikan dan kesihatan si ibu dan anak di dalam kandungannya.

3. Isteri Yang Tidak Nusyuz


Menurut hukim syarak, isteri yang diceraikan dalam keadaan dia taat dan patuh serta tidak berbuat nusyuz juga berhak ke atas nafkah iddah dari suami. Ini seperti yang tercatat dalam kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 :

  “Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran”.

Walaubagaimanapun terdapat situasi di mana bekas isteri tidak berhak ke atas nafkah iddah dari bekas suami :

1. Isteri Diceraikan Dengan Talak Bain


Menurut pendapat Jumhur Fuqaha, isteri yang  tidak hamil yang diceraikan dengan talak bain tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw tentang talak tiga :

  “Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah”.

(Riwayat Ahmad dan Muslim)

2. Isteri Kematian Suami


Isteri yang bercerai mati atau yang kematian suami juga tidak berhak untuk mendapat nafkah iddah walapun mereka sedang hamil. Ini telah dijelaskan dalam sabda Nabi Muhammad saw seperti di bawah :

 “Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami”.

(Riwayat Darul-Qutni)
Kenapa isteri kematian suami tidak berhak mendapat nafkah? Pertamanya kerana kematian suami menjadikan tanggungjawab seorang suami kepada keluarganya gugur secara automatik. Kedua si isteri boleh atau berhak untuk membuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami demi kelangsungan hidup mereka anak-beranak.

Nafkah Isteri Tertunggak


Nafkah isteri tertunggak atau tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya semasa dalam ikatan perkahwinan. Ini termasuk tidak membayar mas kahwin, tidak memberi nafkah hidup, tunggakan nafkah anak dan sebagainya. Tunggakan-tunggakan ini pada akhirnya akan menjadi hutang pada si suami dan wajib dibayar. Bekas isteri boleh menuntut tunggakan tersebut di Mahkamah Syariah.




Bagi memudahkan proses tuntutan tunggakan tersebut, kedua-dua pihak adalah disaran menggunakan perkhidmatan peguam. Tapi bagi yang tidak berkemampuan, mereka boleh membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman.

Kesimpulan


Secara kesimpulannya, Islam agama yang adil dan saksama kepada kaum wanita. Banyak kelebihan dan hak yang diberi bagi memastikan kedudukan wanita yang diceraikan terjaga dan tidak dipandang serong masyarakat.

Cumanya wanita itu sendiri kena ambil tahu tentang hak-hak yang berhak ke atas mereka dan berfikiran kehadapan dengan membuat tuntutan seperti yang ditetapkan syarak demi kelangsungan hidup yang baru. Dan cara yang sebaiknya adalah dengan selesaikan isu tuntutan tersebut secara berhikmah antara suami dan isteri agar tiada persengketaan di kemudian hari.
Sumber :
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang
Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang
Peguam Syarie Fas

Diharapkan apa yang Bonde Kongsikan ini, dapat membantu anda/ahli keluarga/teman sedikit sebanyak tentang Hak-Hak Wanita Selepas Bercerai.  Kongsikan tentang ini agar ianya bermanfaat untuk wanita lain.



 
 ~ Bonde Senyum Riang ~

Catat Ulasan

9 Ulasan

  1. Sebagai perempuan mmg kena tau hakykita kan

    BalasPadam
  2. Honestly mmg isu penting kepada wanita. Penting tau semua hak kita, apa yg kita boleh buat dan xleh buat lepas cerai.

    BalasPadam
  3. Betul kena tau. Kalau yg tak tau pape kesiankan kat dorang.

    BalasPadam
  4. Bab ni mmg kene tau kan.. Bukan sennag bila dh bercerai.. Yang penting kedua2 pihak kene beri kerjasama

    BalasPadam
  5. Info yg sangat berguna utk kita sbgai perempuan yg brgelar isteri. Bru kita taw hak2 yg sptutnya utk kite

    BalasPadam
  6. Thanks for sharing, mana tau kan lepas MCO ada yang nak bercerai hehehe

    BalasPadam
  7. Bab cerai nampak mcm mudah, tp sbnrnya tak mudah

    BalasPadam
  8. Banyak sebenarnya hak wanita ni kan.. Tapi Tak semua wanita tu tahu. Bagus ada pendedahan macam ni

    BalasPadam

[PENAFIAN]

Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.

Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.

Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.

~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.

~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...

Terima kasih.