Pujian Kepada Pasangan





Bagi memenangi hati suami, seorang isteri sanggup berhabis soal penampilan, biar hanya berada di rumah, dia akan memastikan pakaian yang dikenakan cantik. Tidak pernah sekali si isteri ini berkain batik di rumah atau berseluar pendek gaya amah. Secalit gincu pasti ada di bibirnya agar wajah tampil berseri.

Namun biar bersungguh-sungguh melakukannya, hati isteri ini tetap rasa kecewa. Tidak pernah sekali dia mendengar pujian dari suaminya. Sudah hampir lima tahun berumahtangga, kalimat pujian itu sebenarnya cukup didambakan kerana apa yang dilakukannya itu sememangnya hanya untuk suaminya yang dicintai.

Begitu sukarnya sikap sesetengah pasangan suami dalam hal meluahkan kata-kata puji-pujian, tidak terkecuali isteri juga. Pasangan suami isteri yang bersikap sedemikian sebenarnya tidak menyedari betapa pentingnya kata-kata pujian. Saling memuji adalah salah satu cara untuk menunjukkan betapa pasangan suami isteri itu saling sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Kebaikan memuji

Ðiakui, tidak ramai suami mahupun isteri yang terbuka dalam memuji pasangan masing-masing. Selalunya mereka lebih cenderung menyimpan semuanya di dalam hati. Walhal, meluahkan perkara positif buat pasangan adalah sesuatu yang cukup baik dan sangat efektif dalam memberi dan menambah keyakinan diri pasangan. Malah, luahan pujian juga akan membuatkan pasangan berasa dicintai dan dihargai.

Sebagai contoh, apabila seorang isteri mampu meluahkan perasaannya pada suami dan menunjukkan dalam bahasa verbal maka suami akan mengetahui kelebihan dirinya. Ðalam pada itu, suami pula akan berusaha membalasnya dengan mencari kelebihan isterinya pula. Pada tahap seterusnya, suami dan isteri itu akan cuba memperbaiki kelemahan diri masing-masing agar kelemahan atau kekurangan tidak dilihat pasangan masing-masing.

Ðengan meluahkan kata-kata pujian seperti “Isteri abang nampak manis hari ini”, “Abang ini segaklah” ataupun apa-apa kelebihan lain, maka pasangan juga akan turut melakukan perkara yang serupa.

Tambah kemesraan


Seperti yang dikatakan tadi, tidak semua orang mudah memberikan pujian, termasuklah kepada pasangannya. Sikap ini sebenarnya berpunca dari didikan seseorang individu. Apabila suami atau isteri tidak pernah dididik dengan pujian sejak kecil, maka dia akan berasa sukar untuk memuji orang lain atau pasangannya.

Hal yang hampir sama berlaku pada mereka yang mempunyai keperibadian ‘introvert’ ataupun pendiam. Untuk berbual pun sukar, apatah lagi untuk memuji-muji. Tetapi ini bukan bererti mereka tidak mampu melakukannya, cuma pasangan harus merangsangnya untuk membiasakan diri terlebih dahulu.

Awalnya perasaan malu memang akan dirasai, tetapi lama-kelamaan apabila sudah terbiasa, suami atau isteri mungkin sentiasa mahu mengungkap isi hatinya. Kesan positif dari perkara ini adalah hubungan suami isteri akan bertambah erat dan mesra. Anda mungkin boleh memulakan pujian dengan memuji prestasi pasangan selepas hubungan intim ataupun tatkala pasangan mendapat kenaikan pangkat.

Ajar anak hargai orang lain

Sikap memuji pasangan bukan hanya memberi kesan baik buat pasangan suami isteri, tetapi juga kepada anak-anak. Melihat ibu dan ayah mereka saling memuji, maka anak akan berasa selesa dalam keluarganya.

Anak juga akan melihat adanya nilai-nilai romantis dan kasih sayang antara kedua ibu bapanya, lalu tidak akan menghidarkan fikiran mereka dari unsur negatif. Perlu diketahui oleh suami isteri bahawa kekakuan mereka atau tiadanya unsur komunikasi positif seperti pujian dalam perhubungan mereka akan menyebabkan perasaan anak tertekan dan tidak selesa dengan persekitaran keluarganya.

Mempamerkan kebiasaan memuji di hadapan anak-anak juga akan memberikan pendidikan secara tidak langsung untuk menghargai orang lain. Jadi, janganlah malu untuk belajar memuji pasangan kerana anak juga akan mendapat mengajarannya. Mereka tidak kekok melemparkan kata-kata pujian dan lebih menghargai kelebihan yang dimiliki oleh orang lain.

Cara luahkan pujian

Pujian buat pasangan sebenarnya tidak semestinya dilakukan secara lisan. Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyampaikannya. Bagi anda yang masih malu-malu untuk meluahkannya, bolehlah memulakannya melalui bahasa tubuh. Pujian dengan bahasa tubuh ini ada berbagai, daripada sentuhan, pelukan erat tatkala suami melihat isteri bergaya anggun mahupun sekadar pegangan tangan.

Setelah terbiasa dengan bahasa tubuh, maka belajarlah pula meluahkannya melalui kata-kata. Tapi kata-kata pujian yang kelaur itu hendaklah tulus ikhlas dari hati supaya ia kedengaran jujur dan bukan sengaja direka-reka. Anda juga tidak perlulah menunggu suami atau isteri melakukan sesuatu yang bagus untuk dipuji sebaliknya luahkan saja kata-kata pujian jika merasakan si dia layak dipuji.

Lebih berkesan jika...

Pujian akan memberi kesan lebih positif jika anda tahu bila mahu mengucapkannya. Ini adalah antara aturan pujian yang harus diketahui terutama buat pasangan yang baru membiasakan diri.

Pujian akan lebih bermakna jika tidak terlalu kerap diucapkan dan tidak pula terlalu jarang. Berikan pujian pada saat-saat penting, seperti ketika pasangan mahu memulakan pekerjaan baru. Ini akan meniupkan semangatnya untuk memulakan tugas dengan lebih baik.

Atau berikanlah pujian ketika isteri atau suami mula berasa kecewa atau kehilangan keyakinan diri. Pujian yang tulus di waktu ini akan memberikan harapan baru bagi suami atau isteri. Pilihlah kata-kata pujian yan gmampu meresap dalam jiwanya.

Jangan terlalu kerap

Memuji pasangan di khalayak ramai juga tidak kurang pentingnya, tetapi janganlah terlalu kerap. Sebabnya ia akan menimbulkan perasaan tidak senang pada pasangan yang dipuji. Ungkaplah bila benar-benar perlu dan di waktu yang tepat. Pilihlah pujian yang tidak berlebih-lebihan seperti memuji hasil masakan atau kemahiran menghias rumah yang dimiliki oleh isteri.

Sebenarnya, kebiasaan memuji pasangan ini bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan, asalkan anda melupakan rasa ego dan juga perasaan malu. Keutuhan rumahtangga dan tali cinta anda berdua lebih penting daripada dua perkara tersebut.


moga tip-tip diatas dapat diamalkan dalam menambah keharmonian rumah tangga :)

 ~ BONDE SENTIASA SENYUM RIANG :p ~

Catat Ulasan

0 Ulasan