‘Takutlah (berhati-hatilah) kalian dengan dunia dan takutlah kalian terhadap fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah dalam urusan wanita.’ [Hadis Riwayat Muslim]
Islam telah menegaskan kepada kita bahawa suara perempuan adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara mereka adalah kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu kepada pelbagai fitnah. Atas sebab yang sama Allah melarang perempuan melembut-lembutkan suara di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi tidak baik di hati-hati lelaki yang menghidap penyakit. Maka jika mata suka memandang kepada sesuatu yang cantik dan indah, telinga pula amat gemar mendengar suara yang merdu dan manja. Fitnah yang ditimbulkan suara tidak terbatas kepada suara para penyanyi wanita sahaja, tetapi boleh juga timbul dari suara semua wanita. Hatta dalam solat, berhadapan dengan Allah pun, tidak diharuskan wanita mengangkat dan meninggikan suara sekiranya imam solat tersalah, tapi disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita ditakuti mengganggu kekhusyukan solat orang lain.
Bergurau senda dengan perempuan adalah salah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka, suara yang menjadi pesona luar biasa bagi lelaki. Sering kita terdengar orang berkata: si dia memiliki suara manja, merdu, lunak dan memikat hati dan lain-lain. Atau, dia mempunyai suara serak-serak basah dan berirama dan sebagainya. Kerana tertariknya mereka kepada suara wanita, mereka memandangnya sebagai perkara yang harus dipuja lebih daripada segalanya. Apakah hal seperti itu bukan fitnah namanya? Lebih-lebih lagi apabila kalmat-kalimat yang diucapkannya disertai dengan senyuman yang mengandungi pelbagai makna dan tafsiran. Kebanyakan wanita, setiap kali bercakap akan diikuti dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan cara begini barangkali mereka merasakan harga diri mereka terjaga dan terpelihara. Ini juga termasuk fitnah yang dahsyat!!!
Ada sesetengah wanita gemar bercakap dengan kaum lelaki, mereka tidak merasakan hal itu suatu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut, mereka juga bercakap dengan isyarat mata dan pandangannya. Tetapi ada juga di kalangan wanita yang tidak gemar bercakap dengan kaum lelaki, cukup dengan pandangan mata sahaja. Mereka mengutarakan isi hati mereka melalui mata dan pandangan sahaja. Hubungan antara mata dan hati adalah hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di dalam hati akan kelihatan di mata. Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa selamanya hati dan mata mempunyai hubungan yang erat. Allah menjelaskan bahawa setiap yang tersembunyi di dalam relung hati dan yang terkandung di dalam mata adalah jelas dalam ilmu-Nya.
Yang menjadi fitnah bukanlah kerana mata itu indah dan mempesona sahaja, bukan pula kerana wanita itu memiliki bulu mata yang panjang dan alis mata yang lentik sehingga dengan mudah menerobos ke dalam hati tanpa izin, bukan pula kerana anak mata yang hitam berkilat atau yang kebiru-biruan. Tetapi, sebenarnya yang menjadi fitnah itu ialah kemampuan mata wanita itu menyatakan keinginan hatinya, melontarkan pandangan yang lembut, seolah-olah dia memanggil-manggil dan mengajak pada suatu ketika, dan dia menjanjikan sesuatu pada ketika yang lain.
Agar tidak terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata wanita, Islam menyarankan supaya tidak memandang mereka dan menundukkan pandangan bila berhadapan dengan wanita. Demikian juga, kaum wanita juga dituntut supaya tidak memandang lelaki dan mengelakkan diri mereka daripada pandangan kaum lelaki. Hal yang demikian disebabkan kerana dirinya sendiri adalah fitnah yang berganda. Kata orang, fitnah yang timbul dari mata dan dari suara wanita, sama-sama berbahaya. Dan, seorang fitnah itu tahu bahawa mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang menggunakannya tidak kepada yang disuruh dan yang dibolehkan iaitu kepada suami mereka, tetapi mereka menggunakannya kepada yang tidak sepatutnya.
Oleh sebab itu, Islam melarang memandang kepada benda-benda yang haram, seperti seorang wanita memandang kepada lelaki ajnabi dan seorang lelaki memandang kepada wanita. Kerana pandangan mata itu lamanya mungkin cuma satu atau dua saat, namun bekasnya dapat kekal di dalam hati sepanjang hayat!!
Tubuh wanita juga boleh menimbulkan fitnah. Fitnah yang bagaimana? Mempamerkan kecantikan tubuh terutamanya dengan membuka aurat adalah satu fitnah yang pasti. Hal ini akan membawa fitnah bagi setiap lelaki apabila seorang wanita tidak menutup auratnya, apalagi kalau ia memamerkan bentuk tubuhnya yang seharusnya mereka tutupi dan sembunyikan. Apatah lagi dengan ‘trend’ golongan kini yang suka menggayakan busana-busana ‘muslimah’ yang kononnya berpakaian menurut Islam dan berhias berlebih-lebihan (bertabaruj)sehingga menyebabkan lelaki tergoda. Ini juga merupakan suatu fitnah.
Keluar rumah tanpa ada keperluan, atau meninggalkan tanggung jawab rumahtangga merupakan satu fitnah wanita yang timbul dari golongan wanita kini terutamanya yang telah bekerjaya ataupun golongan wanita muada-mudi. Betapa ramai kaum wanita disebabkan mengejar urusan dunia, mereka tinggalkan anak-anak mereka, mereka serahkan urusan anak mereka sepenuhnya kepada pembantu sehingga menimbulkan akibat dimana tidak terjalinnya kasih sayang antara anak dengan ibunya.
Apa yang lebih teruk lagi apabila wanita ingin dijadikan ‘barang dagangan’ atau dalam bahasa yang lebih lembutnya, inginkan diri mereka dipaparkan di dalam iklan, media massa, majalah, televisyen, suratkhabar, dan sebagainya. Bahkan penilaian terhadap mereka dilakukan secara fizikal sahaja yakni pada luaran.
Bercampurgaul antara lelaki dan perempuan dalam berbagai tempat, baik di dalam lingkungan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya,mengakibatkan terjadinya perbuatan maksiat seperti zina, pergaulan bebas, perselingkuhan dan lain sebagainya. Hal ini sebenarnya merupakan satu propoganda musuh-musuh Islam, musuh-musuh syariat Islam yang ingin merosakkan umat Islam melalui wanita. Mereka membuka ‘laluan’ pekerjaan yang hanya untuk wanita, sehingga terjadinya pengangguran di kalangan lelaki, akhirnya timbullah kerosakan. Mereka merosakkan aqidah umat Islam melalui wanita dengan menanamkan pelbagai syubhat, diantaranya persamaan taraf lelaki dan wanita.
Adab-adab yang perlu dijaga oleh wanita
i)Pandang Memandang
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang beriman: Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan mata mereka….” (Surah An Nur : Ayat 31)
Buraidah r.a. berkata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a. : “Ya Ali! Janganlah kamu ikutkan satu pandangandengan satu pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama sahaja (terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al Hakim)
ii)Bertemu Muka Sendirian
Rasulullah SAW telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat dengan seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.” (Riwayat Imam Ahmad dari Jabir r.a.)
“Janganlah seorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan, kecuali jika dengan mahram.” (Riwayat Imam Ahmad dari Amir bin Rabie’ah r.a.).
iii)Berjabat Tangan
Aisyah r.a. berkata: “Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w. menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia membai’at mereka itu dengan percakapan.”(Riwayat Imam-Imam Bukhari, Muslim dan Turmudzy).
iv)Pakaian Di Luar Rumah
Firman Allah yang ertinya :
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang apa yang telah tampak daripadanya; dan hendaklah mereka itu mengulurkan tudungkepala mereka atas leher dan dada mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
v) Adab Bermusafir
Sabda Rasulullah SAW :”Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari dan semalam, melainkan jika bersama seorang mahramnya.” (Riwayat Imam-Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzy dari sh. Abi Hurairah r.a.)
vi) Hak Pendidikan
Kata Abu Said r.a. : “Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang-orang lelaki telah dapat pengajaran dengan hadith (sabda) engkau, maka itu jadikanlah bagi kita, orang-orang wanita, dari engkau suatu hari yang kita agar dapat datang kepada engkau,agar engkau memberikan pengajaran atas kita dari pada apa yang telah Allah berikan atas engkau (berupa tazkirah).” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di tempat ini.”(Riwayat Imam Bukhari)
vii) Larangan Menunjukkan Perhiasan
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
Ke mana perginya adab-adab ini?
Islam sebenarnya mengangkat darjat wanita, memuliakannya sesuai dengan fitrah yang Allah S.W.T ciptakan, sehingga Islam membuat aturan-aturan yang adil terhadap wanita. Oleh kerana itu, hendaklah kaum lelaki bertaqwa
kepada Allah dalam menghadapi pelbagai fitnah wanita, kerana Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sedarilah duhai para wanita muslimah yang ingin menyelamatkan dirinya dan agamanya dari pelbagai macam fitnah. Tunjukkan kebaikan diri anda dengan memelihara diri dari hal-hal yang terlarang dalam agama. Janganlah terpedaya dengan tipu daya dan gemerlapnya dunia. Wahai para wanita muslimah, jangan kalian tertipu dengan slogan; hak asasi manusia ataupun hak asasi wanita, lalu anda mau menjual diri anda dengan harga yang sedikit. Anda korbankan diri dan kehormatan anda hanya untuk sekedar memenuhi kehidupan yang sementara ini. Ingatlah bahawasanya kita tidaklah hidup selamanya. Ketika kematian menjemput kita, apakah yang akan kita bawa sebagai bekal di akhirat kelak ? Renungkanlah wahai saudariku, mudah-mudahan dengan mengamalkan wasiat ini akan menjadikan kita golongan orang yang selamat, kerana sesungguhnya kebanyakan dari isi neraka adalah kaum wanita, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Aku telah melihat syurga dan ku lihat kebanyakan dari penghuninya adalah orang-orang miskin dan aku telah melihat neraka maka kebanyakan dari penghuninya adalah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim).
0 Ulasan
[PENAFIAN]
Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.
~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.
~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...
Terima kasih.