Jom baca....
“Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki”
Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik
di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku
hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi
rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu
seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.
Aku
juga tidak mahu menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang
dikecewakan kerana terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku
berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan Allah kelak andai ditanya?
Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau aku tidak ingin kamu memandang perempuan lain, aku dululah yang
perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias
peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah. Kalau aku ingin
lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang
baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk
lelaki yang baik?
Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki
perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu
datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu
menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untuk mu. Allah telah
memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suami ku untuk menerima
hati dan perasaan ku yang suci. Bukan hati yang pernah menjadi labuhan
lelaki lain.
Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh
Allah saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas
menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak
berputus asa. Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah
dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing
kebinasaan?
Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan
seolah-olah wujud bersamaku. Di mana saja aku berada, akal sedarku
membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan
dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu
bukan teman hidupku kelak.
Aku bukanlah seorang gadis yang
cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih
permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.
Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita solehah yang lain,
dilamar lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpinku ke
arah tujuan yang satu.
Tidak perlu kau memiliki wajah setampan
Nabi Yusuf, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman, atau
kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad, yang mampu mendebarkan hati
juataan gadis untuk membuat aku terpikat.
Andainya engkaulah
jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa
kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi
kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan
perasaan itu kerana kita masih tidak mempunyai hak untuk begitu. Juga
jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut
perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam
kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah
engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi. Aku akan
merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun
sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi sekiranya
akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku
untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan
Allah dengan kemenangan atau syahid itu.
Akan ku keringkan
darah dari luka mu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku pasti
berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu
kepadaku.
Cukuplah kamu mencintai Allah dengan sepenuh hati mu
kerana dengan mencintai Allah, kamu akan mencintaiku kerana Nya. Cinta
itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan
mempertemukan kita kembali di syurga.
Seorang gadis yang
membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, bermesra dengan lelaki yang
bukan muhrimnya, hilanglah harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan
Allah. Di hadapan Allah!
~ BONDE SENTIASA SENYUM RIANG :p ~
0 Ulasan
[PENAFIAN]
Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.
~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.
~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...
Terima kasih.