NOVEL KALAU DAH JODOH - ELEE MARDIANA



Assalamualaikum dan Selamat Pagi,

Terpanggil Bonde untuk kongsikan kisah Novelis Elee Mardiana disini, tujuan utama ingin membantu Elee Mardiana untuk penjualan Novelnye.

Novel Sweet :

Kalau Dah Jodoh

Kepada peminat-peminat Novel mari kita sama-sama bantu Elee Mardiana beli novel Kalau Dah Jodoh beli 1 untuk diri sendiri, 2 hadiahkan kepada kawan.



Jom baca sikit. Kutlah ada yang teringin nak beli lepas baca.

Bab 1


“HAI, abang!” sapa Jujen sebaik sahaja Azmunir masuk ke dalam keretanya. Sebuah senyuman paling manis Jujen hadiahkan kepada Azmunir, cuba mengambil hati kerana dia sedar dia terlewat sampai, sedangkan buah hatinya itu bukan jenis yang suka dibiarkan tertunggu-tunggu.
“Hmm...”

Itu sahaja yang keluar dari celah dua ulas bibir Azmunir. Marahlah tu. Kalau Azmunir hendak marah-marah, suka hati dialah. Malas Jujen melayannya. Makin dilayan makin menjadi-jadi pula nanti, sedangkan badan Jujen sendiri pun penat.

“Kita nak makan kat mana ni, bang?” tanya Jujen seraya mengundurkan kereta. Soalan itu diajukannya dengan nada bersahaja, memberitahu Azmunir bahawa dia tidak ada niat langsung untuk memujuk lelaki itu.
“Tempat biasalah! Dekat sikit. Abang dah lapar sangat ni!”
“Amboi! Saya tanya lembut-lembut, yang abang jawab bentak-bentak ni kenapa? Saya lambat setengah jam aje. Itu pun nak marah ke? Minggu lepas saya tunggu abang sampai dua jam, tak bising pun!”
“Mengungkit...” Suara bengang Azmunir meleret.
“Perkara yang perlu diungkit, kenalah ungkit!”
Mereka terdiam buat seketika.


“Abang risau aje tadi,” kata Azmunir, akhirnya. Suaranya lembut sedikit.
Jujen tidak menoleh. Sedikit pun dia tidak percaya pada cakap Azmunir. Begitukah cara orang risau bercakap? Membentak-bentak. Tanya pun tidak kenapa dia lambat. Yang Azmunir tahu, asyik hendak marah-marah sahaja.
“Kenapa darling lambat?”

‘Uiks? Dia boleh baca fikiran aku ke? Berasap kut telinga dia,’ bisik hati Jujen.
“Hah, darling? Kenapa lambat?” ulang Azmunir.
“Jumpa panel penilaian tadi. Kena nilai prestasi kerja. Sebab tulah.”
“Dah petang baru nak nilai prestasi kerja orang. Pagi tadi dia buat apa?” gerutu Azmunir, menghalakan kemarahannya kepada orang lain pula.
“Dah giliran saya petang, kenalah buat petang. Abang ni, tak usahlah marah-marah. Runsing tau!”

“Kenapa nak kena nilai pulak? Tak nampak ke butik tu dah maju?”
“Saya yang bagi nama untuk dinilai. Siapa yang tak nak? Kalau menang dapat seratus ribu ringgit.”
Serta-merta kepala Azmunir menoleh. Jujen yang ternampak reaksi spontan Azmunir itu dari ekor matanya, memuncungkan mulut. Azmunir, kalau fasal duit memang cepat!
“Darling dapat seratus ribu ringgit?”
“Kalau terpilih jadi pengedar terbaik, dapatlah! Bukannya dapat macam tu aje. Kenapa abang macam terkejut aje saya tengok?”
“Seratus ribu ringgit tu, darling! Banyak.”
“Tahu. Tapi bukan senang nak menang. Ramai yang bagi nama. Pihak atasan kena tapis betul-betul untuk pilih pengedar yang terbaik di antara yang terbaik. Siapa yang terpilih, dapatlah duit seratus ribu ringgit tu nanti.”
“Bila darling dapat tahu siapa pemenangnya?”
“Minggu depan. Masa kat Kanada nanti. Penyampaian hadiahnya buat kat sana.”
“Uisy...”


Jujen menoleh. Dilihatnya Azmunir sedang memandang ke hadapan sambil tersenyum pelik. Sampai senget mulutnya.
“Semacam aje abang senyum. Kenapa ni?”
“Abang doakan darling menang.”
“Terima kasih. Aamiin.” Jujen meraup mukanya dengan sebelah tangan. Yang sebelah lagi memegang stereng kereta dengan erat.

“Darling, darling...” Tiba-tiba sahaja suara Azmunir berubah menjadi lemah gemalai. “Kalau darling dapat duit seratus ribu tu kan, boleh tak darling bagi kat abang tiga puluh ribu?”

“Hah? Nak buat apa?” Kepala Jujen menoleh dengan pantas, sepantas soalan yang terlontar dari bibirnya. Terkejut ya amat dia mendengar permintaan Azmunir itu. Selambanya Azmunir meminta tiga puluh ribu ringgit daripada dia. Bukannya pinjam tetapi minta! Azmunir ingat tiga puluh ribu ringgit tu macam tiga puluh ringgitkah?

“Abang nak buat deposit beli kereta baru. Kereta abang tu dah lama sangat. Dah berbelas tahun usianya. Bolehlah, darling? Abang teringin sangat nak pakai Mitsubishi Lancer yang baru keluar tu,” rayu Azmunir lagi, merenung Jujen dengan muka kasihannya.

“Tak bolehlah, bang! Saya dah niat kalau menang, duit tu saya nak masukkan ke dalam akaun Amanah Saham Wawasan. Harap abang tak kecik hati,” tegas Jujen tanpa teragak-agak.

Azmunir mendiamkan diri. Jujen buat tidak tahu sahaja dan terus memandu. Seminit berlalu. Kemudian dua. Masuk minit ketiga, Jujen mula tertanya-tanya kenapa Azmunir masih menguncikan mulut. Merajukkah dia?
‘Alahai, penatlah dengan dia ni. Sikit-sikit merajuk. Sikit-sikit merajuk,’ sungut hati Jujen. Nafas dihela panjang. “Bang, saya harap abang faham. Kalau abang mintak tiga puluh ringgit, bila-bila masa aje saya boleh bagi. Tapi...”

“Tak apa. Abang faham.” Akhirnya Azmunir bersuara.
“Jangan kecik hati tau.”
“Tak.”
“Mulut kata tak tapi hati?” Sekilas Jujen pandang Azmunir.
“Betul. Abang tak kecik hati.”

“Okeylah kalau abang cakap macam tu.” Jujen menjongketkan bahunya sebelum memulas stereng keretanya untuk masuk ke kawasan di mana terletaknya gerai-gerai makanan yang sering dikunjungi oleh pekerja kilang dan pejabat di sekitar kawasan itu. Kebanyakan gerai di situ masih lengang. Hari masih awal lagi. Kalau datang selepas maghrib, memang susah hendak dapat meja.

Mereka duduk di meja yang terletak di hadapan gerai kegemaran mereka. Seperti biasa, Jujen memesan sepinggan mi rebus dan teh O ais limau. Azmunir pula meminta sepinggan mi goreng dan teh ais. Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, mereka bersembang.
“Macam mana hari abang hari ni? Okey?”
“Biasalah. Tak okey pun kena kata okey. Kulilah katakan. Lainlah macam darling...”


“Sendiri jadi bos, sendiri jadi kuli,” potong Jujen. Mukanya kurang manis, menyampah bila mendengar Azmunir berkata begitu, seolah-olah orang berniaga ni tidak perlu bekerja keras. Azmunir salah! Orang berniaga kena bekerja sepuluh kali ganda lebih keras daripada orang makan gaji demi memastikan perniagaan terus maju.
“Hari darling pulak macam mana? Okey?”
“Okey sangat. Hari ni aje dapat tiga puluh orang ahli baru.”
“Tiga puluh orang? Sorang kena bayar tiga ribu ringgit, kan kalau nak join Korset Ajaib?”
“A ah.”
“Wah! Kaya darling kalau macam tu. Macam mana darling buat?”
“Saya buat majlis makan-makan. Ajak kawan-kawan Facebook datang. Yang tiga puluh orang tu datang. Semuanya pembeli serius. Tu yang dapat tiga puluh orang tu.”
“Majlis tu... siapa yang taja?”
“Sayalah, bang! Siapa lagi?”
“Banyak ke duit yang darling keluarkan?”
“Taklah banyak sangat.”
“Ada seribu dua?”
“Adalah. Hampir-hampir.”
“Seribu dua tu banyaklah, darling! Isy, darling ni...” Azmunir menggeleng. Kalau bagi duit itu kepada dia lagi bagus, fikirnya dalam hati.

“Alah, bang, orang berniaga ni mana boleh berkira sangat dengan duit yang dia keluarkan. Dia hanya fikirkan tentang duit masuk aje,” tingkah Jujen seraya menoleh ke arah mamak yang sedang memasak, demi menyorokkan rasa tidak puas hati yang dia pasti sudah terserlah pada mukanya. Dia menghormati Azmunir tetapi dia tidak suka betul kalau Azmunir cuba masuk campur dalam urusan perniagaannya.

Jujen tahu apa yang dia lakukan. Sudah lama dia berkecimpung dalam bidang perniagaan itu, sejak sebelum dia bertemu dengan Azmunir lagi. Jadi, Azmunir tidak perlu risau. Lagipun, apalah sangat duit seribu dua yang dibelanjakannya jika dibandingkan dengan pulangan yang diperoleh?

Tidak semena-mena Azmunir melepaskan sebuah keluhan. Jujen mengerlingkan matanya. Sengajalah tu. Nak bagi dia dengar. Biar dia tahu bahawa Azmunir tidak bersetuju dengan tindakannya membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk orang lain. Macamlah dia tidak tahu taktik Azmunir.
“Abang tak usahlah risau.” Jujen tarik nafas dalam-dalam, cuba menahan rasa marah yang mula berlingkar dalam hatinya. “Falsafah orang berniaga, biar berhabis sikit asalkan pulangannya berbukit-bukit. Saya dah amalkannya sejak dari dulu lagi. Hah, mi dah sampai!”

Mata Jujen tidak berkedip memandang mi rebus yang sedang diletakkan di hadapannya. Sebaik sahaja pelayan yang menghidangkan makanan mereka berlalu, dia terus menjamu selera. Azmunir pula diam membisu seribu bahasa. Entah menikmati mi goreng yang dipesan sehingga tidak ingat dunia atau melayan rasa kurang puas hatinya terhadap pendirian Jujen, Jujen pun tidak tahu. Ah, lantaklah! Jujen malas hendak melayan kerenah Azmunir. Perniagaan itu perniagaannya. Duitnya. Azmunir tidak ada hak untuk campur tangan. Kalau setakat bagi nasihat sahaja, dia masih boleh terima lagi tetapi Azmunir berkelakuan seperti mahu mengawal keputusannya sahaja. Mana boleh begitu!
“Suz! Suzanna!”

Kepala Jujen menoleh laju ke arah suara yang menegurnya.
“Izwan!” Jujen tersenyum lebar. “Ya Allah, lamanya aku tak jumpa kau. Makin handsome aku tengok. Apa kau buat kat sini?”
“Saja. Cari kau,” jawab pemuda bernama Izwan itu.
“Yalah tu! Datang dengan siapa?” Jujen melonjongkan lehernya ke belakang, mencari kawan-kawan Izwan. “Isteri kau ke tu?” tanyanya, lalu memuncungkan mulut ke arah seorang wanita muda yang duduk bersendirian di sebuah meja dan sedang memandang ke arah mereka.

“Bila masa aku kahwin? Kan kau janji nak kahwin dengan aku hari tu?”
Jawapan Izwan itu membuatkan Azmunir tersedak sehingga terbatuk-batuk. Izwan tersenyum nakal sambil menepuk-nepuk badan Azmunir. Selamba sahaja kelakuannya. Jujen menyuakan air, menyuruh Azmunir minum. Kemudian, dia menjeling Izwan.

“Jangan nak mengada-ngadalah, Izwan! Tak habis-habis dengan perangai tak semenggah kau tu. Ni, perkenalkan. Teman lelaki aku, Azmunir.”
“Oh... ini ke orangnya yang jadi penghalang cinta kita tu?” Izwan menghulurkan tangannya kepada Azmunir tetapi tidak dilayan. “Tak nak salam ke? Tak nak tak apa.”

“Kau ni nak cari gaduh ke, Izwan? Dah lama sangat hidup, ya?” tegur Jujen. Dia tidak suka dengan cara Izwan memprovokasi Azmunir. Takut jika terjadi perbalahan, Izwan akan terlepas cakap dan memberitahu Azmunir bahawa dua tahun lalu, dia pernah cuba menyunting Jujen menjadi isterinya. Cuma, lamarannya itu Jujen tolak kerana Jujen tidak menyimpan perasaan yang sama terhadap Izwan.

“Saya bergurau sajalah, Azmunir. Bila nak kahwin ni, Suz? Dah lama sangat rasanya korang bercinta,” kata Izwan lagi.
“Yang kau sibuk fasal aku ni kenapa? Kau tu bila? Dah ada calon ke belum? Kalau belum, biar aku kenalkan kau dengan kawan aku yang masih bujang, nak?” balas Jujen. Matanya merayu agar Izwan berlalu tetapi tidak dipedulikan oleh lelaki itu.
“Aku orang lelaki, Suz. Umur empat puluh pun orang tak kata apa kalau tak kahwin lagi. Tapi tak adalah aku nak tunggu sampai umur masuk empat puluh baru aku nak kahwin. Kalau dapat anak, anak tak cergas. Benih tua.” Izwan tergelak-gelak, lucu dengan jenakanya sendiri.


Azmunir mendongak memandang Izwan. Jelas, dia berasa tersindir.
“Okeylah, Suz. Jumpa lagi di lain kali. Jangan lupa hantar kad jemputan bila nak kahwin nanti. Alamat aku masih sama. Oh... lagi satu. Kalau kau kembali solo, jangan lupa telefon aku tau. Kalau dah jodoh, kita mesti kahwin punya.” Izwan mengenyitkan matanya. Kemudian, dia memberikan tabik hormat kepada Azmunir sebelum kembali ke mejanya, di mana seorang wanita muda sedang duduk bersendirian tadi.
“Siapa dia tu?” tanya Azmunir. Mi goreng dalam pinggan dikuis-kuisnya dengan garpu.
“Kawan satu universiti dulu.”
“Perangai kurang ajar betul.”
“Dia melawak ajelah tadi...”
“Boleh pulak dia panggil darling Suz, ya? Masa abang nak panggil darling dengan nama tu dulu, darling tak bagi.”
“Abang tu mulalah...”
“Siapa yang mulakan? Abang ke dia?”
“Ya Allah, abang ni... dia melawak ajelah. Takkan itu pun tak boleh?” Jujen pandang kiri dan kanan, risau suaranya dapat didengari oleh pengunjung lain yang sedang makan di situ.
“Kalau nak melawak pun, tengoklah tempatnya.”
“Alah, bang... tak payahlah nak marah-marah.”
“Yang darling bela dia tu buat apa?”
“Bila masa pulak saya bela dia?” Berdesir suara yang keluar dari celah dua ulas bibir Jujen. Dia betul-betul marah ketika itu tetapi tidak berani meninggikan suaranya. Kalau orang lain dengar, maruahnya sendiri yang akan tercalar nanti.
“Yang abang nak marah-marah ni kenapa? Sebab saya tak nak bagi duit tiga puluh ribu yang abang mintak tu ke?”

Azmunir buat tidak tahu sahaja dengan soalan Jujen. Dia memandang ke arah Izwan dan rakan wanitanya yang sedang makan tidak jauh dari mereka. Muka Azmunir cemberut.

“Darling ke yang suruh dia tanya bila kita nak kahwin?”
Jujen terkedu hingga tidak terkata. Terkedip-kedip matanya memandang Azmunir, tidak menyangka jari Azmunir akan menuding ke arahnya pula.
“Bang, kalau saya nak tanya kat abang, saya tanya aje. Saya bukannya pengecut sampai benda-benda macam tu pun nak suruh orang lain tanyakan bagi pihak saya!” Sudu di tangannya Jujen letakkan di atas pinggan. Mi rebus yang masih banyak berbaki, tidak larat dijamah lagi. Hatinya sakit dengan tuduhan tidak berasas Azmunir itu.
“Habis tu, macam mana dia tahu umur abang dah dekat empat puluh tahun? Kalau darling tak bagi tahu, takkan dia tahu? Takkan dia nak sindir-sindir abang tadi?”

“Alah... sekali tengok muka abang aje orang boleh teka umur abang berapa. Tak payah saya cakap. Orang tahu abang banyak tua daripada saya!” balas Jujen. Hah, geram aku! Kan dah kena sebijik. Asyik nak tuduh aku aje.
Namun, hati Jujen tertanya-tanya juga bagaimana Izwan boleh membangkitkan isu umur. Tiba-tiba sahaja. Dan bagaimana Izwan tahu usia Azmunir sudah hampir ke angka empat puluh kalau tidak ada orang yang memberitahunya? Sudah lama dia tidak bersembang dengan Izwan. Hampir dua tahun kalau dia tidak silap tetapi Azita, sahabat baik merangkap rakan kongsi perniagaannya, memang kerap berbual dengan Izwan melalui telefon. Dia tahu sebab Azita selalu menyampaikan salam Izwan kepadanya.
Mereka bertiga pernah belajar di universiti yang sama. Rakan sekelas. Sebab itulah Azita pun kenal Izwan.

‘Nak kena Zita ni!’ desis hati Jujen. Dia semakin yakin bahawa Azitalah yang telah memberitahu Izwan tentang Azmunir.
“Minggu lepas masa kat kenduri kahwin kawan darling, ada sorang kawan darling tu tanya, bila darling nak naik pelamin? Darling kata tunggu abang masuk meminang dulu, baharulah boleh kahwin. Lepas tu darling tambah, takkanlah darling pulak yang nak tanya soalan tu kat abang? Tak manis,” ujar Azmunir lagi. Dia nampaknya masih belum berpuas hati.

“Oh, sebab tulah abang tuduh saya yang suruh Izwan tanyakan soalan tu kat kita tadi?”

Azmunir tidak menjawab tetapi dari air mukanya, Jujen dapat membaca bahawa memang itulah yang Azmunir maksudkan.
“Baiklah! Dah abang sendiri bangkitkan perkara ni, biar saya tanya abang soalan cepumas tu. Abang ni sebenarnya ada niat tak nak kahwin dengan saya? Dah dua tahun tau kita berkawan.”

“Jadi, memang selalulah darling fikirkan perkara ni?”
“Hari-hari saya fikir! Hari-hari saya tanya diri sendiri soalan yang sama. Bila abang nak berbincang fasal kahwin ni? Bila? Hari-hari kita berjumpa tapi sekali pun abang tak pernah bangkitkan topik ni. Takkan saya pulak yang tanya? Saya ni orang perempuan.”

“Darling tahu kan masalah abang.”
“Takkanlah tak cukup lagi duit tu, bang! Umur abang dah berapa? Dah 36, kan? Lagipun bukannya saya nak buat kenduri kahwin macam Siti Nurhaliza tu. Kita buat kenduri kecik sudahlah. Buat yang wajib aje.”
“Kalau darling nak kahwin sekarang, mintak maaflah. Abang tak dapat nak tunaikan hasrat darling tu.”

“Habis tu bila abang rancang nak kahwin dengan saya ni?”
Kepala Azmunir tergeleng-geleng, tidak dapat memberikan jawapan.
“Lagi setahun? Dua?” soal Jujen, inginkan kepastian. Sekurang-kurangnya kalau ada tempoh masa, senang sedikit dia hendak memujuk hati.
“Tak tahu nak cakap.”
Jujen terdiam. Susah hatinya mendengar jawapan Azmunir. Oleh sebab tidak selesa lagi berada di gerai itu, dia mengajak Azmunir berlalu. Di dalam kereta, mereka terus membisu. Kepala Jujen sebu. Tidak boleh berfikir langsung.
“Apa kata kita ringan-ringan dulu. Darling nak tak?” Tiba-tiba Azmunir bersuara.
Jujen menoleh laju akibat terlalu terkejut. Ini rupanya yang membuatkan Azmunir terdiam sejak dari tadi. Dia ingatkan apa bendanyalah tadi yang Azmunir fikirkan sampai enggan bercakap dengannya. Rupa-rupanya Azmunir sibuk mencari jalan untuk mengajaknya melakukan dosa!
“Saya ajak abang bina masjid tapi abang ajak saya buat maksiat pulak! Pelik betullah saya dengan sikap abang ni.”

Saat itu Jujen merasakan betapa rendahnya pandangan Azmunir terhadap dirinya, seolah-olah dia tidak ada maruah. Hee... sakit betul hatinya. Kalau bukan dia yang memandu kereta ketika itu, memang sudah dia hempuk-hempuk kepala Azmunir dengan beg tangannya untuk melepaskan geram.
“Dah darling berkehendakkan sangat. Kita ringan-ringanlah dulu sementara belum menikah ni. Dah menikah esok, kita buat yang berat-beratlah pulak.” Azmunir tersenyum sendiri. Di fikirannya sudah terbayang aksi indah di antaranya dengan Jujen.

Di tempat duduknya, Jujen mengetap bibir menahan marah. Menyampah betul dia mendengar ayat Azmunir itu. Asal ada orang kahwin atau setiap kali dia bercerita tentang kawan-kawannya yang naik pelamin, itulah ayat yang keluar dari mulut Azmunir. Si pengantin dah berkehendakkan.

Tidak bolehkah Azmunir bercakap seperti orang lain? Oh, sudah sampai jodohnya. Eloklah kahwin. Bukankah manis bunyinya? Ini tidak. Sikit-sikit dah berkehendakkan. Sikit-sikit dah berkehendakkan. Meluat Jujen dibuatnya!
“Mula-mula ringan-ringan. Lepas tu ajak saya buat yang berat-berat pulak. Bila dah terlanjur, abang nak ke kat saya lagi? Mesti tak nak dah, kan? Mesti abang kata saya ni perempuan murahan. Mudah disentuh.” Jujen menggeleng. Terkilan.

“Kalau macam tu, tak tahulah macam mana abang nak cakap lagi.”
“Senang aje, bang. Kalau abang sendiri tak tahu hala tuju hubungan kita ni, lebih baik kita putus aje.”
“Itu ke yang darling nak?”
“Tak adalah...”
“Habis tu? Kenapa darling cakap macam tu?”
“Kalau abang tak ada niat nak dirikan rumah tangga, lebih baik abang cari perempuan lain yang sekepala dengan abang. Hah, bercintalah korang sampai ke akhir zaman, tak payah kahwin-kahwin. Tapi saya memang nak kahwin. Kalau tak hujung tahun ni, hujung tahun depan saya nak naik pelamin!”
Sekali lagi sebuah keluhan terlepas dari bibir Azmunir.
“Abang fikirlah baik-baik. Bila saya balik dari Kanada nanti, abang bagi jawapannya.” Jujen memberhentikan keretanya di pekarangan pejabat Azmunir. Kereta Azmunir ditinggalkan di situ tadi.

“Jadi, darling nekadlah nak putuskan hubungan kita?”
“Kalau tak ada penghujungnya, kita putuslah! Takkan saya nak tunggu pulak? Dibuatnya abang tak nak kahwin sampai bila-bila, tak ke naya?”
Azmunir pandang Jujen. Jujen pandang Azmunir. Selepas beberapa ketika, Azmunir membuka pintu kereta untuk keluar.
“Bang!”
Azmunir berpaling. Ada segaris harapan pada wajahnya.
“Abang tak suka bila orang buat abang ternanti-nanti, kan? Bukan abang sorang aje yang tak suka, saya pun tak suka abang buat saya tertunggu-tunggu macam ni, tau. Kalau betul, buat cara betul. Kalau tidak, kita putus cara baik.”
Azmunir keluar dari kereta itu dalam keadaan marah-marah. Jujen pun marah juga. Dia terus berlalu dari situ tanpa menunggu sehingga Azmunir masuk ke dalam keretanya sendiri seperti biasa.

Kalau nak baca sampai habis, meh la pakat beli.

Kalau Dah Jodoh

RM17.00 (SM) / RM20.00 (SS) saja.
Harga dah termasuk kos poslaju.
Untuk beli, bank in dalam akaun Maybank Elee Mardiana binti Muhammad.
No. Akaun: 158396028622
Lepas tu, berikan akak nama, alamat, nombor telefon dan bukti bayaran







Kisah Elee Mardiana

Tolong share jika sudi..

" Assalam... 

Selalu saya tulis dalam novel, sudahlah jatuh ditimpa tangga pula. Begitulah yang saya kena sekarang. Malam Selasa saya terima kerja yang ditawarkan tapi malam Rabu saya kehilangan kerja tersebut. Memang bukan rezeki. Ingatkan dah lega fasal bab rumah dan bab kerja tapi rupa-rupanya tak lega lagi. 

Tak habis-habis musibah datang. Orang kata saya ni insan terpilih, Allah sayang sangat pada saya sebab tu Allah jentik dengan musibah.

Masalahnya dah dua tahun. Tak larat dah saya nak menongkah arus ujian demi ujian yang mendatang. Rasa nak mati dah sekarang.

Jangan risau. Saya masih yakin pada Allah. Cuma saya penat dan kecewa dengan hidup saya sejak kembali ke Malaysia. Dah dua tahun, ya Allah. Permudahkanlah hidupku. Tak larat dah aku menanggungnya.

Kalau sudi, tolonglah beli buku saya. Help me to bounce back, please... badly need your help. I guarantee you, my book will entertain you.

Kalau Dah Jodoh
RM17.00 (SM) / RM20.00 (SS)
Harga dah termasuk kos pos.

Untuk beli, bank in dalam akaun Maybank Elee Mardiana binti Muhammad.

No. Akaun: 158396028622.

Tolong share jika sudi. Emotikon cry

FB: Elee Mardiana "


Catat Ulasan

11 Ulasan

[PENAFIAN]

Saya adalah pemilik blog www.bondezaidalifah.com secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.

Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.

Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.

~Awak sportinglah....terima kasih sudi tinggalkan komen dibawah.

~Sila tinggalkan link untuk Bonde balas kunjungan...

Terima kasih.